Saturday, 16 November 2013

@SEMUA BAS DIARAH PINDAH





IPOH – Semua pengusaha bas ekspres di sekitar bandar raya ini digesa bekerjasama berpindah ke Terminal Amanjaya di Meru Raya bagi memastikan hasrat kerajaan dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang terbaik kepada rakyat berjaya.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pengusaha-pengusaha bas berkenaan perlu memahami hasrat kerajaan dalam melakukan transformasi khususnya sistem pengangkutan awam melalui pembinaan Terminal Amanjaya yang serba moden.

“Kita tak boleh nak ada kaunter di sini (Terminal Amanjaya) dan pada masa sama nak ada kaunter tiket di tempat lain sedangkan tempat ini dah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi kena ikut la.

“Bila kita dah buat penguatkuasaan undang-undang tidak boleh ada pengecualian, ada orang kena patuh dan sesetengah lagi tak perlu patuh namun kita faham apa yang berlaku seperti di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan dulu akan berlaku di sini yang akhirnya semua pihak akan berpindah ke sini.

“Kerajaan buat terminal baharu ini untuk memberikan perkhidmatan awam yang baik kepada rakyat. Apabila sudah ada terminal yang serba lengkap begitu, sepatutnya kita beri kerjasama,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke terminal ini, kelmarin.

Syed Hamid menambah, sebelum terminal itu siap, kesemua pengusaha bas bersetuju untuk berpindah hasil perbincangan yang dicapai sebelum ini.

“Masa belum buat semua pengusaha dah capai kata sepakat nak pindah dan tidak pernah ada paksaan, lepas dah siap semua baru timbul perkara ini pasal apa sedangkan perjanjian telah pun dimeterai.

“Namun saya mereka akan berpindah juga kerana dari segi jangka masa panjang dan kebaikan bersama mereka akan berpindah sama seperti apa yang berlaku di TBS,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan berhubung segelintir syarikat ekspres yang masih beroperasi di Jalan Bendahara, Medan Kidd serta Jalan Dr Nazrin Shah termasuk di Chemor yang masih belum berpindah ke terminal berkenaan.

Isu pemindahan operasi bas ekspres ke Terminal Aman Jaya dari Medan Gopeng yang berlarutan sejak April 2011, pada awalnya, selesai apabila semua pengusaha bersetuju berpindah ke terminal itu pada Mac lalu melalui perjanjian yang dimeterai bersama di hadapan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry pada Julai lalu turut menyatakan Kerajaan Negeri memandang serius masalah yang disuarakan sebahagian pengusaha bas yang telah beroperasi di terminal berkenaan bagi memastikan tiada sebarang pihak berdepan masalah kekurangan pengguna.

Katanya, adalah tidak adil jika masih ada yang belum berpindah dan arahan siasatan lanjut mengenainya telag dikeluarkan.


"Kita menolak dakwaan akan wujud ‘mini terminal’ khusus kepada pengusaha yang masih melakukan operasi di luar Terminal Amanjaya seperti didakwa." katanya.

No comments:

Post a Comment